DUNGUN – Seorang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan yang dinaikinya dalam kemalangan di Kilometer 336.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Paka di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, mangsa, Siti Husna Che Mat, 38, meninggal dunia di lokasi nahas akibat parah pada kepala manakala suaminya, Mohd. Kaswady Yusuf, 36, dan anak perempuan mereka, Khaliqah Qasdina, 3, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kosmo! Online difahamkan keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu, Kelantan dari Johor Bahru sebelum kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu suami mangsa hilang kawalan akibat terlanggar lopak air lalu berpusing dan merempuh besi pembahagi jalan.
Menurut seorang saksi, Mat Zain Sulaiman, 60, ketika kejadian, dia berada pada jarak kira-kira 400 meter di belakang dan sempat melihat kenderaan itu berpusing beberapa kali.
“Saya bersama isteri dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dari Melaka dan ketika itu memang hujan lebat.
“Secara tiba-tiba saya melihat kereta Myvi itu berpusing sebelum melanggar pembahagi jalan. Saya juga ternampak seorang mangsa yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan tercampak keluar dari kenderaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE










