SHAH ALAM 17 Nov. – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebak dan hampir mengalirkan air matanya kerana terkenangkan perjuangan parti, semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam Kongres Nasional PKR Ke-13 di sini sebentar tadi.
Beliau sendiri mengakui dirinya agak beremosi kerana ucapan itu merupakan ucapan terakhirnya sebagai Presiden PKR sejak 20 tahun parti itu ditubuhkan.
Wan Azizah akan menyerahkan kedudukannya kepada suami beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hujung minggu ini yang menang tanpa bertanding dalam Pemilihan PKR untuk penggal 2018-2021.
Dalam ucapan itu, beliau mengimbau perjuangan PKR terutama pada tahun 2004 apabila parti itu hanya memiliki satu sahaja kerusi Parlimen.
“Saya benar-benar merasai kesunyian yang amat sangat. Barisan Alternatif musnah, kita kalah teruk dalam pilihanraya dengan hanya Parlimen Permatang Pauh menjadi penyelamat maruah parti.
“Hampir semua hilang membawa diri masing-masing yang tinggal hanyalah beberapa orang penyokong setia. Sebahagian pimpinan isytihar keluar parti dan menyerang PKR,” katanya dalam ucapan tersebut di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Jelasnya, PKR kini yang bersama Pakatan Harapan (PH) telah mendapat mandat rakyat dan mahu parti gabungan itu meneruskan agenda bersama dan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Hari ini saya akan serahkan PKR pada kedudukan terbaik dalam sejarahnya untuk dipimpin oleh kepimpinan yang baru,” katanya. – UTUSAN ONLINE










