JOHOR BAHRU 27 Nov. – Kerajaan negeri berhasrat memastikan kesemua sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini berdaftar menjelang tahun 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, setakat ini sebanyak 140 buah sekolah telah berbuat demikian, manakala 40 lagi sedang dalam proses pendaftaran.
“Kita sudah maklumkan sebelum ini kepada semua sekolah tahfiz untuk berdaftar dalam tempoh dua tahun ini.
“Oleh itu, sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dengan kerajaan menjelang tahun 2020 akan dikenakan tindakan,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Projek Madrasah Impianku di Madrasah Tahfiz al-Quran Sidi Ibrahim Ar Rasyid, Kempas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Operasi Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam; Pengerusi MyCare Johor, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar dan Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta), Muhammad Faizal Mohd. Zain.
Aminolhuda memberitahu, sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini mempunyai pilihan sama ada berdaftar sendiri mahupun bergabung dengan sekolah tahfiz lain yang telah berdaftar.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan sekolah tahfiz beroperasi dengan menepati piawaian keselamatan, sekali gus meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar terlibat.
“Ini juga untuk memastikan kesemua tenaga pengajar di sekolah tahfiz merupakan warga tempatan yang beraliran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.
Pada majlis tersebut, pertubuhan bukan kerajaan, MyCare dan Pasaraya Econsave menyerahkan sumbangan berupa kelengkapan keselamatan bernilai RM170,251 kepada 54 buah sekolah tahfiz di negeri ini.










