Vivian mahu bangkit pada IC India - Utusan Malaysia

Vivian mahu bangkit pada IC India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEWAS pada pusingan ke­dua kejohanan badminton Terbuka India kelmarin ­nyata tidak mematahkan semangat pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo untuk kembali menampilkan aksi lebih baik pada Cabaran Antarabangsa (IC) India minggu depan.

VIVIAN (kiri) dan pasangannya, Cheng Wen gagal melangkah jauh pada Terbuka India selepas mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak kakinya.

Vivian yang bergandingan de­ngan Yap Cheng Wen disingkirkan oleh beregu China, Chen Lu-Xu Ya menerusi aksi tiga set 15-21, 26-24, 19-21 dalam tempoh lebih sejam.

Tambah parah, kekalahan itu turut disusuli kecederaan yang dialami Vivian pada kedua-dua belah tapak kakinya sehingga menyebabkan dia sukar melakukan pergerakan seperti biasa.

Bagaimanapun, pemenang pi­ngat emas Sukan Komanwel 2018 itu menegaskan, kecederaan tersebut tidak terlalu serius selain me­ngakui kecewa tersingkir awal pada Terbuka India.

“Kecederaan saya tidak terlalu serius dan tidak ada apa perlu dibimbangkan, mungkin memerlukan rehat dua atau tiga hari sebelum kembali menjalani latihan kerana kami akan beraksi pada IC India minggu depan.

“Walaupun kami terima kekalahan itu dengan hati terbuka tetapi ia sedikit mengecewakan kerana kami mensia-siakan peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai gandi­ngan bersama Cheng Wen yang dibentuk September lalu, Vi­vian berkata, masih ada beberapa aspek perlu diperbaiki bagi memastikan mereka mampu menampilkan aksi lebih kemas pada kejohanan akan datang.

Biarpun baru digandingkan dua bulan lalu, namun percaturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilihat membuahkan hasil apabila Vivian-Cheng Wen berjaya merangkul gelaran Terbuka Macau awal bulan ini.

“Sudah tentu kami perlu tingkatkan beberapa lagi aspek permainan kerana masih baru digandingkan. Setiap perlawanan merupakan proses pem­belajaran buat kami, jadi masih ada banyak masa untuk baiki kelemahan.

“Mengenai IC India, saya tidak mahu letak sasaran terlalu awal kerana mahu fokus pada pemulihan kecederaan. Kemudian, baru saya akan fikir mengenai apa sasaran kami pada kejohanan tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN