KAJANG 27 Nov. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula mengambil tindakan lebih tegas selepas ini bagi mengelak kejadian keganasan sehingga mencederakan orang ramai berulang.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau sendiri telah mengeluarkan arahan supaya lebih 1,400 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya bermula hari ini.
Menurutnya, mereka akan mula mengambil tindakan mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah terhadap individu yang didapati merusuh.
“Cukuplah, kita akan benarkan mereka masuk kalau mahu sembahyang, selain dari itu, kita akan arahkan mereka beredar, kalau mereka enggan, kita akan tangkap.
“Tiada keperluan untuk isytihar darurat, cuma kawalan akan lebih ketat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bersama Pekerja Inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan PDRM di Denso (Malaysia) Sdn. Bhd. Bangi, di sini sebentar tadi.
Ujar Noor Rashid, semua yang terlibat akan disiasat mengikut beberapa akta Kanun Keseksaan kerana perhimpunan tersebut bukan lagi dikategorikan sebagai perhimpunan aman.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim cedera parah selepas dibelasah sekumpulan perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya awal pagi tadi. – UTUSAN ONLINE










