SUBANG JAYA – Seorang lelaki warga asing yang dipercayai buruh pembinaan dibelasah orang ramai selepas didakwa memulakan kebakaran di sebuah rumah kongsi di Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights di sini hari ini.
Lelaki berkenaan yang dilihat keluar dari bahagian belakang rumah kongsi berkenaan cuba diselamatkan namun dibelasah orang ramai kerana dipercayai menjadi punca kebakaran tersebut.
Ekoran daripada itu, suasana yang pada awalnya tenang menjadi kecoh akibat daripada situasi tersebut.
Kenderaan pihak polis turut dihalang oleh orang ramai yang menyerbu dan menghalang dari keluar daripada perkarangan kuil berkenaan.
Keadaan kembali terkawal dan tenang selepas kenderaan polis berjaya membawa lelaki berkenaan keluar dan dilihat sepasukan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mula berkawal di lokasi berkenaan.
Sejurus kejadian, pihak bomba juga dilihat memasuki kawasan kuil bagi memadamkan kebakaran rumah kongsi tersebut.
Terdahulu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ambil masa kira-kira satu jam bagi memadam dan mengawal kebakaran melibatkan sejumlah kenderaan yang terbakar ekoran kekecohan yang berlaku di sini awal pagi tadi.
Insiden kekecohan pada kira-kira pukul 2.45 pagi itu dikatakan berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil.
Video kejadian itu turut tular di media sosial. – K! ONLINE











