KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di pekarangan Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung beberapa kes penyelewengan membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.
Beliau yang turut ditemani suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tiba pada pukul 2 petang dan dikawal ketat pasukan polis serta pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah.
Selang beberapa minit, Datuk Rizal Mansor, iaitu bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga dilihat tiba di pekarangan kompleks mahkamah bagi menghadapi pertuduhan sama.
Turut kelihatan memberi sokongan di kompleks mahkamah berkenaan ialah beberapa pemimpin tertinggi UMNO Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Hamzah Zainuddin.
Kosmo! Online semalam melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihaknya telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Rosmah membabitkan kes projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.
Selain Rosmah, Rizal juga akan didakwa di mahkamah yang sama pada pukul 2.30 petang. – K! ONLINE










