KAJANG 26 Nov. – Polis menumpaskan sindiket makmal dadah haram dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM3.55 juta dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Hi Tech 5, Semenyih, di sini pada Rabu lalu.
Dalam serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor bersama JSJN Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kajang itu, pihak polis turut menahan sembilan lelaki berusia 27 hingga 51 tahun termasuk empat anggota polis yang disyaki terlibat dengan sindiket ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya merampas cecair minyak syabu seberat 174 kilogram (kg) yang dianggarkan boleh menghasilkan 70kg syabu.
“Kita juga merampas lima mesin dan peralatan makmal untuk memproses dadah selain menyita dua kereta dan sebuah lori selain wang tunai berjumlah RM105,500.
“Kita percaya sindiket ini telah beroperasi selama setahun dan kemungkinan besar untuk pasaran dalam dan luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











