KUALA LUMPUR 6 Nov. – Padang Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar di sini semalam menyaksikan ‘pertempuran mesra’ antara veteran Utusan Malaysia menentang veteran Berita Harian dalam satu perlawanan Bola Sepak Amal 2018 bagi membantu mangsa gempa bumi di Palu, Indonesia.
Perlawanan berkesudahan dengan jaringan seri 2-2 dan berlangsung dengan penuh semangat setiakawan, menggambarkan keakraban serta hubungan baik antara dua saluran media yang paling berpengaruh di Malaysia.
Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, perlawanan amal itu merupakan simbol kebersamaan agensi media dalam usaha membantu golongan yang memerlukan seperti mangsa bencana alam di Palu.
“Ini adalah kali pertama Utusan Malaysia dan Berita Harian berganding bahu untuk program seumpama ini dan wajar diteruskan pada masa akan datang.
“Walaupun kita bersaing dari segi media tetapi menerusi program sebegini, ia menunjukkan kita boleh bersatu dan alhamdulillah, perlawanan Bola Sepak Amal 2018 antara veteran Utusan Malaysia dengan veteran Berita Harian turut mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini,
Tuanku Syed Faizuddin hadir merasmikan program itu serta menerima sumbangan berjumlah RM28,600 untuk diagihkan di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nizam Mohd. Noor berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia dan Berita Harian yang prihatin dengan peristiwa malang yang berlaku di Palu baru-baru ini.
“Tindakan ini sekali gus membuktikan bahawa kita mempunyai solidariti dan prihatin dengan kejadian yang berlaku.
“Sehubungan itu, sumbangan yang berjaya dikumpul ini akan diserahkan kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti seperti Majlis Belia Perlis dan Institut Qayyim,” katanya.
Dalam masa sama, majlis tersebut turut menyaksikan masjid-masjid di Perlis tampil dengan kutipan bernilai RM122,709; TNB (RM20,000); Bank Rakyat (RM3,000) dan Teras Tanjung (RM3,000).










