[VIDEO] Penduduk cedera diserang babi hutan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penduduk cedera diserang babi hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR 28 Nov. – Penduduk Desa Cempedak dekat sini bimbang dengan keselamatan mereka susulan tiga penduduk cedera diserang babi hutan yang ‘mengamuk’ di kawasan itu petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.20 petang semalam, Asmawati Hassan,35, yang menunggang motosikal bersama anaknya yang berusia setahun lima bulan disondol haiwan terbabit yang tiba-tiba muncul dari kawasan hutan berhampiran.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia bersiar-siar di kawasan itu selepas menghantar anak sulungnya mengaji di rumah jiran sebelum seekor babi hutan meluru ke arahnya menyebabkan motosikal itu terbalik.

“Kejadian itu disaksikan oleh seorang penduduk yang cuba membantu namun dia juga diserang oleh haiwan itu yang bertindak ganas.

“Motosikal yang saya tunggangi terbalik emnyebabkan saya dan anak terjatuh sebelum kami berjaya selamatkan diri dengan masuk ke halaman rumah jiran,” katanya yang mengalami luka-luka di badan dan menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

Seorang lagi mangsa, Wan Ibrahim Wan Ismail,60, berkata, ketika kejadian dia sedang memotong rumput di hadapan rumahnya sebelum diserang oleh babi hutan itu yang bertindak agresif.

Jelasnya, dia bernasib baik kerana memegang sebilah sabit dan melibas senjata itu ke arah haiwan terbabit namun haiwan itu berjaya mencederakan tanganya menyebabkan ibu jarinya terpaksa dipotong selain menerima beberapa jahitan di tangan.

“Abang saya Wan Idris Wan Ismail juga diserang haiwan itu ketika cuba membantu Asmawati sehingga mengalami kecederaan agak parah dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya.

“Biarpun kami pernah terserempak dengan babi di kawasan ini namun tak sangka kali ini haiwan itu bertiandak ganas sehingga menyerang penduduk dan ini membimbangkan penduduk kampung,” ujarnya.

Sementara itu Pegawai Perhilitan Daerah Seberang Perai, Mohd Zainuddin Busrah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudahpun turun padang dan melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi mengenalpasti tindakan sewajarnya yang akan diambil bagi mengatasi masalah itu.

Ujarnya, kawasan persekitaran yang dipenuhi semak-samun mungkin menarik perhatian haiwan berkenaan untuk bersarang dan mungkin habitatnya terganggu menyebabkan menyerang penduduk. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN