SUBANG JAYA 26 Nov. – Seorang lelaki dipercayai pekerja pembinaan warga asing dipukul beramai-ramai selepas disyaki membakar rumah kongsi yang terletak di belakang Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya di sini sebentar tadi.
Lelaki terbabit yang kelibatnya dilihat berada di bahagian belakang rumah kongsi sebelum kebakaran berlaku, mulanya cuba diselamatkan orang ramai berikutan api marak terlalu cepat.
Dia bagaimanapun dibelasah sebaik sahaja orang ramai mengetahui dia yang memulakan kebakaran tersebut.
Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada peronda polis yang dihalang orang ramai untuk keluar sehingga terpaksa menggerakkan kenderaan dinaiki suspek secara perlahan-lahan meninggalkan pekarangan kuil untuk dibawa ke balai polis berhampiran.
Buat masa ini, lebih 100 masyarakat India berkumpul di kuil tersebut menuntut pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu untuk tampil memberikan penjelasan. – UTUSAN ONLINE











