KUALA LUMPUR 19 Nov. – Seramai 132 kanak-kanak autisme daripada program prasekolah dan intervensi awal diraikan dalam sebuah majlis graduasi dan konsert Permata Kurnia.
Menurut Setiausaha Bahagian Permata, Datuk Saidatu Akhma Hassan, program seperti itu perlu dilakukan sebagai penyuntik semangat kepada anak-anak istimewa tersebut.
“Dengan adanya program seperti ini dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka untuk melangkah ke dunia luar.
“Cara pergaulan dan pertuturan mereka tidak sama seperti kanak-kanak biasa jadi ibu bapa perlu lebih peka dan mengetahui langkah yang sesuai untuk berkomunikasi bersama anak mereka,” ujarnya semasa melancarkan majlis tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis itu Pengarah Pusat Permata Kurnia, Profesor Dr. Hasnah Toran dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Menurut penyanyi tersohor itu, kemudahan yang disediakan di Pusat Permata Kurnia perlu diperluaskan lagi ke seluruh negeri dan tidak hanya tertumpu di bandar sahaja.
“Saya rasa penduduk di bandar peka dengan anak-anak autisme ini tetapi bagaimana pula dengan mereka yang di luar bandar.
“Pendedahan yang lebih meluas perlu diberikan kepada mereka supaya anak-anak istimewa ini dapat perhatian yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










