KUALA LUMPUR 28 Nov. – Lembu Wagyu yang buat pertama kalinya berjaya dilahir dan dibesarkan di negara ini mencuri tumpuan pengunjung serta menjadi satu tarikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018.
Lembu baka berharga lebih RM30,000 seekor itu bukan sahaja memiliki saiz seakan-akan lembu ‘sado’, tetapi turut dilayan dan dimanjakan sama seperti manusia termasuk dari aspek pemakanan serta kesihatan.
Pengerusi Eksekutif Colla Cattle Farm, Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim berkata, semua lembu yang mempunyai berat lebih 400 kilogram itu perlu dijaga rapi dan tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tekanan untuk menjaga kualitinya.
“Rasa dan struktur daging dipengaruhi kesihatan, pemakanan dan keadaan lembu. Semua lembu ini mampu mencapai berat sehingga satu tan jika dijaga dan diberi makanan berkhasiat. Kos untuk membesarkan lembu ini bagi tempoh tiga tahun juga mahal iaitu mencecah RM30,000.
“Sebab itu harga setiap kilogram mengikut bahagian ada mencecah ribuan ringgit. Kami juga perlu sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan terhadap semua lembu yang dibawa untuk memastikan haiwan ini dalam keadaan baik dan tidak demam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di MAHA 2018, dekat sini hari ini.










