PETALING JAYA – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rempuhan sehingga mengakibatkan seorang pelanggan maut di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan semalam ditahan reman bermula hari ini.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairol Azhar Mohd. Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia lingkungan 20-an.
Siasatan terhadap lelaki yang bekerja sebagai pekerja am itu dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksmum RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, lelaki yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di mahkamah pada pukul 11.25 pagi dengan diiiringi anggota polis.
Polis menahan suspek kira-kira pukul 1.43 pagi susulan penemuan kenderaannya yang ditinggalkan tepi jalan di Taman Universiti Indah dekat sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam, seorang wanita berusia 57 tahun maut manakala empat lagi cedera akibat dirempuh kenderaan jenis Isuzu Dmax. – K! ONLINE










