PETALING JAYA 23 Nov. – Seorang penganggur yang terbabit dengan kejadian langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan, Ahad lalu berdepan dengan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam kemalangan tersebut.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Wilsonrensa Dudom, 22, memandangkan kes tersebut bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang pekerja restoran, Wong Sow Lin, 57, di hadapan sebuah restoran, Jalan Equine 9B, Seri Kembangan dekat sini pada kira-kira pukul 8.20 malam, 18 November lalu.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff tidak membenarkan jaminan terhadap Wilsonrensa yang tidak diwakili peguam dan menetapkan 8 Januari ini untuk sebutan kes.
Pada 18 November lalu, seorang wanita maut manakala empat lagi cedera berikutan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax melanggar orang awam yang sedang menjamu selera di tempat letak kenderaan di sebuah restoran di Taman Equine, Seri Kembangan dekat sini.
Kenderaan itu kemudian ditinggalkan tertuduh di Taman Universiti Indah kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian sebelum ditemukan orang ramai yang melalui kawasan tersebut.
Video oleh ZETI FARZANA ALPIKRI











