KUALA LUMPUR 24 Nov. – Drama selama dua jam seorang lelaki yang cuba membunuh diri selepas kecewa ditinggalkan kekasih berakhir apabila berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam kejadian di pusat beli-belah Suria KLCC, di sini sebentar tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia 49 tahun tersebut mengalami tekanan perasaan selepas mengalami masalah kewangan, selain ditinggalkan isteri, serta kekasihnya.
“Lelaki itu mendakwa diburu serta diugut bunuh oleh sekumpulan samseng dan telah membuat laporan polis namun tiada sebarang tindakan diambil.
Video Oleh IHSAN BOMBA
“Lebih malang lagi nasibnya apabila kekasih mudanya turut meninggalkannya selepas mengalami masalah kewangan, oleh itu dia mengambil jalan mudah untuk membunuh diri,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, operasi menyelamat yang diketuai Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, Fuad Omar berkenaan tamat pada pukul 7.19 malam.
Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.52 petang dan sebanyak enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.
“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Jalan Hang Tuah.
“Mangsa berjaya ditarik melepasi besi penghadang di tingkat empat oleh beberapa anggota bomba yang cuba memujuknya selama hampir dua jam,” ujarnya.
Menurutnya lagi, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










