IPOH – Lapan lelaki ditahan selepas terlibat dalam pergaduhan di sebuah kedai makan di Bandar Baru Medan Ipoh di sini awal pagi kelmarin.
Beberapa rakaman video mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada pukul 2.50 pagi itu tular di laman sosial sejak semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua lapan lelaki berusia 17 hingga 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
“Kesemua mereka kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 28 November bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut tidak melibatkan rusuhan antara kaum atau kongsi gelap sekali gus menafikan dakwaan seperti yang tular di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Katanya, punca sebenar kejadian tersebut berlaku adalah disebabkan selisih faham berkaitan hutang.
“Polis menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” jelasnya.
Menurut Razarudin, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 148 kerana merusuh.
“Jika didapati bersalah, kesemua mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya. – K! ONLINE










