[VIDEO] Kes saman Nur Dhabitah terhadap UMMB, selesai - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kes saman Nur Dhabitah terhadap UMMB, selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Kes saman fitnah penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (UMMB), berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Saman itu difailkan Dhabitah ekoran artikel bertajuk, Rogol, doping buat Nur Dhabitah tertekan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 5 Oktober 2017.

Penyelesaian kes saman melalui penghakiman persetujuan itu direkodkan oleh Hakim Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab selepas Nur Dhabitah bersetuju membayar kos bagi tindakan saman yang difailkannya kepada UMMB.

Peguam Azhar Arman Ali yang mewakili syarikat akhbar berkenaan memberitahu pemberita, terma-terma penyelesaian itu bagaimanapun sebahagiannya, tidak dapat didedahkan kepada media.

Hari ini sepatutnya mahkamah mendengar perbicaraan kes saman Nur Dhabitah namun pihak-pihak yang terlibat dalam saman itu bersetuju untuk memasukkan satu penghakiman persetujuan.

Nur Dhabitah yang ditemani ibunya diwakili peguam Datuk Jasbeer Singh.

Dalam pernyataan tuntutan terpinda bertarikh 1 Mac lalu, Nur Dhabitah selaku pihak plaintif mendakwa, artikel tersebut membawa maksud, dia telah dirogol dan terlibat dalam doping atau pengambilan dadah.

Pihak plaintif mendakwa, UMMB yang dinamakan sebagai pihak defendan sengaja mensensasikan artikel tersebut sehingga mengelirukan dan mengundang salah tafsir menyebabkan maruah diri dan keluarganya terjejas, mengalami kesusahan dan tertekan.

Atlet berusia 19 tahun itu sehubungan itu memohon perintah injunksi, ganti rugi am, ganti rugi khas dan ganti rugi teladan daripada pihak defendan.

UMMB dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 9 April lalu menyatakan, artikel berkenaan apabila dibaca secara keseluruhannya, tidak memfitnah Nur Dhabitah dan kandungannya tidak menyebabkan dia dikenali sebagai seorang yang berperwatakan buruk dan terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Pihak defendan, menganggap, artikel tersebut suatu komen yang berpatutan dan neutral berkaitan perkara kepentingan awam dan diterbitkan dalam situasi keistimewaan bersyarat dan mempunyai kebebasan bersuara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×