[VIDEO] Kanak-kanak curi telefon di Penang Sentral - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kanak-kanak curi telefon di Penang Sentral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 27 Nov. – Seorang kanak-kanak lelaki bersama seorang wanita dipercayai terlibat mencuri sebuah telefon bimbit di salah sebuah kedai telekomunikasi di Terminal Penang Sentral di sini Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, tindakan kanak-kanak terbabit berjaya dikesan kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya menjadi tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada pukul 9.47 malam hari yang sama.

Menurutnya, kejadian itu hanya disedari seorang pekerja kedai terbabit selepas telefon bimbit yang sepatutnya dipamerkan kepada pelanggan yang diletakkan di kaunter telah hilang.

“Pekerja itu kemudiannya membuat semakan pada CCTV dan mendapati seorang kanak-kanak yang tidak dikenali masuk ke kawasan kaunter dan mengambil telefon itu sebelum melarikan diri manakala seorang wanita mengawasi di hadapan kaunter.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati semasa kejadian terdapat tiga pekerja di kedai itu termasuk seorang penyelia namun mereka tidak perasan kejadian itu berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, suspek dipercayai warga asing berdasarkan warna kulit namun gagal dikenal pasti kerana wanita itu bertudung hitam biarpun wajah mereka berjaya dikesan CCTV.

Jelas Noorzainy, pihaknya masih mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN