KUALA LUMPUR 28 Nov. – “Saya tidak boleh tengok kucing sakit, kalau ada saya mesti mahu rawat.”
Demikian luahan Ketua Pegawai Eksekutif Medic Pets (M) Sdn. Bhd., Siti Sofiah Ramli yang merupakan pencetus idea kepada pembukaan Pusat Sehenti Kucing Selangor.
Siti Sofiah yang juga merupakan Ketua Projek pusat sehenti kucing berkenaan berkata, seramai 35 sukarelawan telah mendaftarkan diri di bawah projek tersebut sejak pusat itu dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada Ahad lalu.
“Inisiatif pembukaan pusat ini bukan tempat untuk lambakan kucing, tetapi menjadi platform kepada sukarelawan, penyelamat kucing, veterinar untuk berada dalam satu bumbung memberikan khidmat kepada orang awam mengenai cara penjagaan, pemilihan ubat untuk kucing.
“Pusat ini akan dibuka pada hujung bulan hadapan dan menjangkakan 300 sukarelawan yang akan mendaftar sekali gus menyasarkan 10,000 orang akan menerima khidmat Pusat Sehenti Kucing Selangor selepas tiga bulan ia dibuka,” katanya kepada Utusan Online.
Beliau berkata demikian pada pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), dekat sini hari ini.
Jelasnya, pihaknya tidak akan melakukan saringan terhadap jenis kucing dan ia terbuka kepada orang ramai serta menawarkan 2,000 produk rawatan dan perubatan kucing kepada penyelamat kucing.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pusat Sehenti Kucing Selangor boleh layari Facebook (Medic Pets HQ) atau Instagram (Medic Pets). – UTUSAN ONLINE









