[VIDEO] Buaya tembaga tersangkut pada pukat - Utusan Malaysia

[VIDEO] Buaya tembaga tersangkut pada pukat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH 30 Nov. – Sekumpulan nelayan di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru di sini terkejut apabila mendapati seekor buaya tembaga sepanjang dua meter tersangkut pada pukat rawa di perairan pantai itu semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semalam apabila salah seorang nelayan sedang menarik pukat itu kira-kira 400 meter dari laut.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Melaka Barat, Mohd. Azmi Wahid berkata, haiwan tersebut tersangkut pada pukat rawai yang dipasang oleh rakannya yang juga seorang nelayan.

“Ketika menarik pukat itu, nelayan terbabit terkejut apabila mendapati seekor buaya tembaga tersangkut dan segera memaklumkan kepada rakannya yang lain.

“Mereka kemudian segera menghubungi bomba dan penyelamat untuk membantu menarik reptilia itu ke darat untuk diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka dengan bantuan pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan reptilia itu.

Buaya berkenaan yang mengalami kecederaan akibat terkena dawai berjaya ditarik ke darat kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba l Ahmad Zaidi Safuan berkata, sejak semalam pihaknya telah turun padang melakukan pemantauan dan atas faktor keselamatan operasi dilakukan pagi ini.

“Kita berjaya selamatkan buaya itu yang tersangkut di pukat, namun usaha untuk merawat haiwan yang dipercayai mengalami cedera akibat terkena dawai tidak dapat dilakukan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya bersama Perhilitan akan terus memantau kawasan itu bagi memastikan lokasi berkenaan benar-benar selamat untuk dikunjungi orang ramai sekali gus mengurangkan kebimbangan orang awam terutama penduduk kampung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN