KLANG – Dua anggota polis nekad meredah kolam tadahan banjir sedalam semeter selama seminit bagi menangkap seorang pencuri motosikal dalam kejadian di Jalan Persiaran Delima 2, Bandar Parkland di sini petang semalam.
Usaha tersebut ternyata berhasil apabila suspek warga Indonesia berusia 26 tahun itu berjaya ditangkap dalam kejadian pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejayaan tangkapan tersebut bermula apabila dua anggota polis peronda telah mengesan seorang suspek menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota polis tersebut yang masing-masing berpangkat Koperal dan Lans Koperal tersebut kemudiannya meminta suspek memberhentikan motosikal dinaikinya.
“Bagaimanapun, arahan tersebut tidak dipatuhi suspek yang kemudiannya memecut laju sebelum bertindak melarikan diri dengan terjun ke kolam tadahan banjir.
“Dua anggota polis kemudiannya telah bertindak memasuki kolam tersebut sebelum berjaya menangkap suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, semakan terhadap motosikal digunakan suspek didapati merupakan motosikal yang dilaporkan hilang pada 10 November lalu.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Insiden penangkapan kemudiannya menjadi tular selepas orang ramai memuat naik video detik-detik kejayaan polis berkenaan di laman sosial Facebook. – K! ONLINE










