Van Dijk tidak berdendam - Utusan Malaysia

Van Dijk tidak berdendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROTTERDAM 15 Nov. – Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menegaskan, dia tidak terganggu dengan kritikan yang dilempar pengendali Belanda, Ronald Koeman menjelang pertemuan menentang Perancis dalam Liga Negara-Negara Eropah, esok.

Koeman memberitahu Van Dijk supaya menukar gaya permainan ketika mereka tewas 1-2 kepada juara dunia, Perancis dalam aksi pertama, 9 September lalu.

Dia masih tidak gembira dengan aksi bek tengah tersebut biarpun skuad Oranje menang 3-0 ke atas Jerman pada 13 Oktober, malah Van Dijk turut menyumbangkan satu gol.

“Virgil kena perbaiki permainannya. Mungkin tidak banyak tetapi kadang kala dia kelihatan terlalu santai.

“Sebagai pertahanan, anda tidak boleh berada tiga kaki dari penyerang lawan, anda kena mengawasi mereka.

“Ini yang selalu berlaku kepada Van Dijk. Disebabkan dia fikir, dia ada kekuatan, kadangkala permainannya jadi ‘malas’,” ujar Koeman.

Van Dijk, 27, bagaimanapun menerima kritikan dengan hati terbuka, sambil menegaskan, dia akan bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan.

“Tidak, ia (kritikan) tidak langsung menganggu saya.

“Saya akui, ada masanya saya kurang tajam. Saya kena bekerja keras untuk bantu jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.

“Perkara seperti ini berlaku kepada semua pemain tetapi kalau anda tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan, anda mungkin dihukum pada masa akan datang,” kata kapten Oranje itu kepada akhbar Belanda, De Telegraaf.

Belanda perlu menang di De Kuip, Rotterdam esok untuk menghidupkan peluang menjuarai Kumpulan 1 selepas ditinggalkan dengan empat mata di belakang Perancis.

Mereka bagaimanapun memegang kelebihan satu perlawanan ke atas Les Bleus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN