Umum calon ganti Shukry dalam tempoh terdekat - Utusan Malaysia

Umum calon ganti Shukry dalam tempoh terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Pengerusi Lembaga Bank Rakyat baharu yang akan menggantikan Tan Sri Shukry Mohd. Salleh akan diumumkan dalam tempoh terdekat

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, beliau telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk memegang jawatan tersebut dan individu berkenaan terdiri daripada golongan profesional dan bukannya ahli politik.

“Kita sudah mengenal pasti cuma menunggu pendapat daripada Bank Negara Malaysia sebagai bank yang menyelia Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

“Dalam masa sama, ia bertujuan memastikan calon berkenaan menepati visi baharu Bank Rakyat dan cara pengurusan yang memberi keutamaan terhadap penggunaan dana dalam pembangunan usahawan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Isnin lalu, Shukry yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Lembaga Bank Rakyat berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selaras dengan Seksyen 5 dan sub perenggan 2(2) Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 [Akta 202] berikutan pembabitan Shukry dalam Laporan Asal Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN