IPOH 26 Nov. – Pakatan Harapan Perak menafikan dakwaan UMNO bahawa wujud gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu oleh beberapa exco kerajaan negeri menerusi usul undi tidak percaya.
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata,
sebaliknya UMNO dicabar supaya mendedahkan siapakah exco yang dimaksudkan.
“Saya tegaskan jika benar dakwaaan itu, tolong nyatakan secara berdepan
siapakah exco berkenaan dan kita akan lihat keberanian UMNO itu siapakah exco yang dinyatakan.
“Ini kerana perkara ini berlaku sejak awal penubuhan kerajaan negeri lagi, setiap kali nak sidang DUN (Dewan Undangan Negeri), isu ini akan bangkit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) negeri
berkata, UMNO perlu menghentikan polemik tersebut yang bertujuan untuk
mewujudkan rasa tidak selesa dan kurang senang dalam kalangan rakyat
Menurutnya, perkara itu ditimbulkan untuk melihat sokongan rakyat setelah UMNO
dan Pas berbaik-baik dan boleh duduk sepentas.
“Dakwaan tersebut bertujuan untuk mengalihkan isu ketika Presiden UMNO dan
beberapa bekas pemimpin UMNO berdepan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM),” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) negeri, Steven Chaw berkata,
terdapat lima exco kerajaan negeri daripada DAP dan kesemua mereka menyokong
Menteri Besar.
“Saya telah menghubungi kelima-lima exco berkenaan dan saya menegaskan bahawa
mereka memberi sokongan sepenuhnya kepada Menteri Besar,” katanya. – UTUSAN
ONLINE











