GUA MUSANG – UMNO dan Pas bersepakat menentang habis-habisan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Dikriminasi Kaum (ICERDC) melalui penganjuran Himpunan Perpaduan Ummah, esok.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, walaupun ideologi politik berlainan, namun demi menjaga agama Islam, bangsa dan Raja-Raja Melayu mereka sanggup bersama.
Katanya, dua parti itu akan berada dalam perhimpunan bersama yang dijadualkan diadakan di Kampung Gajah, Pasir Salak, malam esok.
“Ini adalah perhimpunan terbesar gabungan dua parti Melayu beragama Islam bagi menentang konvensyen ICERDC anjuran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kita yakin menarik ratusan ribu rakyat negara ini pada perhimpunan perpaduan Ummah menentang ICERDC,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Khas Isu Semasa dan Masa Depan UMNO, di Dewan Bukit Cekati, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusof, ADUN Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.
Lokman berkata, perhimpunan itu memberi peluang kepada rakyat meluahkan rasa kecewanya terhadap kerajaan PH yang bakal menerima pelaksanaan ICERDC.
“Rakyat sedia turun ke jalan raya bagi memastikan hak yang boleh memusnahkan keistimewaan orang Melayu terjaga.
“Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia sebagai kebangsaan dan Raja-Raja Melayu sebagai pelindung agama Islam dan orang Melayu ini tidak boleh dibiarkan dan ditandatangani,” katanya. – K! ONLINE










