Ubi keledek bakal jadi komoditi pertanian baharu di Perlis - Utusan Malaysia

Ubi keledek bakal jadi komoditi pertanian baharu di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Ubi keledek bakal menjadi komoditi pertanian baharu di Perlis selepas mempelam harumanis dan rock melon yang mampu menjana pendapatan yang kompetitif kepada petani.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaludin berkata, ubi keledek mempunyai nilai pasaran yang agak baik bagi pasaran tempatan.

“Setakat ini, kita terpaksa mengimport kira-kira 2,400 metrik tan ubi keledek dari Thailand setiap tahun sedangkan tanah di Perlis ini selepas dilakukan penyelidikan terperinci cukup sesuai untuk tanaman ini.

“Pengusaha mempelam harumanis dapat mempelbagaikan tanaman mereka selain mempelam itu dan ubi keledek cukup sesuai bagi tujuan tersebut.

“Harga borong ubi keledek kini RM1.50 sekilogram,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat FAMA Perlis di sini hari ini.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Kontrak Pemasaran Ubi Keledek FAMA dan Pengusaha Ladang Kontrak.

Perjanjian itu melibatkan kontrak jual beli ubi keledek antara FAMA Perlis dan Ecovalley Farm Sdn. Bhd. yang mempunyai tanaman ubi keledek di tanah seluas 50 ekar di Chuping, Padang Besar dekat sini.

Ubi keledek boleh didapati dalam varian warna seperti kuning, oren dan ungu yang mempunyai pelbagai khasiat tersendiri.

Ubi keledek berisi oren mengandungi beta-kerotin sementara isi ungu pula kaya dengan bahan antioksida dan antosianin yang dapat melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis selain meningkatkan daya ingatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN