Ubat nyamuk buatan China diharamkan - Utusan Malaysia

Ubat nyamuk buatan China diharamkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Jabatan Pertanian mengharam­kan penjualan lingkaran ubat nyamuk dari negara China yang tidak berdaftar dan kini sema­kin berleluasa dalam pasaran di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Jamal Harizan Yang Razali berkata, sebanyak lima jenama telah dikenal pasti antaranya Zenden Micro Smoke dan Jianbao Mosquito Coil.

Katanya, jabatan itu juga telah merampas 3,005 kotak lingkaran ubat nyamuk tidak berdaftar dengan nilai RM5,700 sepanjang bulan lalu dan akan diteruskan dari semasa ke semasa nanti.

“Penjualan lingkaran nyamuk tidak berdaftar adalah satu ke­salahan di bawah Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. Bagi pengguna pula, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 53A (1) (a) akta yang sama dan boleh dipenjara atau didenda RM10,000.

“Setiap lingkaran ubat nya­muk akan dikaji mengikut pro­ses tertentu sebelum diluluskan kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sukar bernafas dan penyakit kulit. Oleh itu, kita sebagai ‘setiausaha’ kepada Lembaga Racun Makhluk Perosak bertanggungjawab kepada semua produk yang dibawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Buku Ringkasan Maklumat Residu Racun Perosak Dalam Tanaman Makanan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di sini hari ini.

Tambah Jamal Harizan, semua lingkaran ubat nyamuk tersebut kebanyakan dibeli menerusi perniagaan dalam talian dan juga diseludup masuk.

Sementara itu, Jamal Harizan berkata, pihaknya kini giat mempertingkatkan kawalan pe­nguatkuasaan terhadap racun dan ubat kawalan serangga perosak.

Menurutnya, sebanyak 30 tangkapan telah dibuat sehingga kini dengan melibatkan ladang, premis dan pusat jualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN