KUALA LUMPUR 15 Nov. – Polis memburu sekumpulan tujuh lelaki yang melakukan samun terhadap seorang wanita dengan berpura-pura melanggar kereta dipandu mangsa dalam kejadian di Lebuh Raya Lingkaran Kajang (Silk) menghala Kajang, 7 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam yang turut tular dalam laman sosial itu, seorang wanita berusia 30 tahun sedang memandu telah dilanggar dari arah belakang sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, disebabkan perlanggaran tersebut, mangsa memberhentikan kereta di bahu jalan untuk memeriksa kenderaannya dan keadaan penunggang motosikal itu.
“Pada masa sama, dua penunggang motosikal lain datang menghampiri kereta mangsa seakan-akan mahu membantu namun seorang daripada suspek bertindak menarik rantai emas dipakai mangsa dan terus melarikan diri.
“Tidak berapa lama kemudian, datang dua buah motosikal lagi dinaiki empat suspek. Mereka bertindak membuka pintu bahagian penumpang hadapan kereta dan mengambil barangan berharga milik wanita itu sebelum melarikan diri menghala ke Semenyih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, siasatan juga mendapati kesemua mangsa menggunakan empat motosikal tanpa nombor pendaftaran.
“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti modus operandi kumpulan ini,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian ini telah tular dalam media sosial dan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam namun pihak polis sentiasa memandang serius kejadian jenayah yang berlaku tentang kes ini.
“Kes itu dalam pemantauan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan. Sekiranya terdapat sebarang masalah atau menjadi mangsa jenayah diminta hubungi hotline Polis Kajang di talian 03-87336580 dengan segera,” katanya.-UTUSAN ONLINE










