KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu warga Filipina dan seorang lelaki warga tempatan ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas di Putrajaya dan Sabah antara 30 Oktober hingga 12 November lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 30 Oktober lalu di Putrajaya membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja ejen menjual jongkong emas.
“Suspek dipercayai terlibat dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria pada tahun 2017 untuk membiayai aktiviti keganasan.
“Tangkapan kedua adalah pada 1 November lalu di Tenom, Sabah melibatkan tiga suspek Filipina berusia antara 27 hingga 51 tahun yang bekerja sebagai buruh disyaki anggota Kumpulan Abu Sayyaff Group (ASG),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad Fuzi menambah,empat lagi suspek ditahan dalam tiga lagi serbuan berasingan di Ranau, Kinarut dan Tenom, Sabah yang berusia 30 hingga 60 tahun.
“Kesemuanya merupakan lelaki warga Filipina dan dua daripadanya dipercayai terlibat dengan kumpulan ASG dan turut berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai ASG dan menjadi perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina.
“Seorang suspek adalah komander kumpulan ASG dan seorang lagi terlibat dalam melindungi seorang suspek yang ditahan polis pada 8 November lalu semasa cuba melarikan diri daripada polis,” ujarnya.
Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – K! ONLINE










