Tugas getir Hafizh di Sepang - Utusan Malaysia

Tugas getir Hafizh di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUMBA Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Hafizh Syahrin Abdullah berdepan tugas berat apabila memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di barisan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Pada sesi kelayakan semalam, pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu mempamerkan aksi kurang me­yakinkan ketika mengharungi litar basah selepas menempah petak ke-23 apabila mencatat masa sepusingan 2 minit 16.825 saat (s).

Meskipun kecewa dengan keadaan itu, pelumba berusia 24 tahun itu tetap memasang azam tinggi bahawa peluang­nya masih belum tertutup untuk melakukan sesuatu di depan ribuan penyokong tempatan.

“Saya tidak risau dengan pencapaian hari ini (semalam) sebab ini kali pertama saya menguji jentera MotoGP dalam keadaan cuaca hujan. Saya memulakan sesi kelayakan dalam keadaan hujan tanpa sebarang ujian dilakukan terlebih dahulu.

“Saya yakin peluang untuk mengutip mata pada perlumbaan sebenar nanti masih ada dan saya akan buat sebaik mungkin esok (hari ini). Jika berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik, maka ia bonus bagi saya.

“Saya harap perlumbaan esok berlangsung dalam kea­da­an kering agar saya mampu lakukan dengan baik di laman sendiri. Saya akan bekerja keras dan tidak mahu menghampakan ribuan penyokong negara yang hadir memberi sokongan,” kata Hafizh sejurus tamat sesi kelayakan.

Rakan sepasukan Hafizh iaitu Johann Zarco akan memulakan perlumbaan di petak pertama diikuti juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi, manakala Iannone di petak ketiga.

Sementara itu, pada sesi kelayakan kelas Moto2, Khairul Idham Pawi turut gagal me­lakukan yang terbaik apabila bakal memulakan saingan di petak ke-25 selepas merekodkan masa 2:07.683s.

Adik Marc Marquez, Alex melakar sejarah apabila memecahkan rekod sepusingan terpantas dengan catatan 2’5.629s mengatasi pemegang terdahulu, Thomas Luthi dari Switzerland (2:06.383s) pada tahun 2015.

Seorang lagi pelumba negara, Adam Norrodin turut kecewa dengan prestasi­nya apabila memulakan perlumbaan di petak ke-18 selepas mencatat masa sepusingan 2:13.089s. Pelumba Sepa­nyol, Jorge Martin me­nem­pah petak pertama selepas merekodkan masa terpantas 2:11.731s bagi kelas Moto3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN