INDIANAPOLIS 3 Nov. – Berbaki empat hari lagi untuk memastikan Parti Republikan terus menguasai Kongres dan juga penguasaannya dalam politik negara ini, Presiden Donald Trump menggunakan dua senjata utamanya – memperbesar-besarkan kejayaan meningkatkan ekonomi negara dan menimbulkan ketakutan orang ramai terhadap kumpulan pendatang.
Trump mendakwa Republikan kini berada dalam kedudukan baik menjelang pilihan raya Kongres pertengahan penggal itu terutama berdasarkan angka pekerjaan baharu yang menunjukkan ekonomi meningkat.
Namun begitu, pungutan suara lain memperlihatkan, parti Demokrat kini menguasai sekurang-kurangnya Dewan Perwakilan sekali gus mengancam Trump dengan bayangan bahawa parti pembangkang akhirnya mampu mengekang dasar Trump selain mendedahkan kedudukan kewangan peribadinya.
Trump kini berada di West Virginia dan Indiana dalam siri kempen dengan pelbagai perancangan sehingga Isnin ini.
“Lima hari ini merupakan hari yang sangat mengujakan,’’ katanya di White House sebelum berangkat menaiki helikopter Marine One.
Siri kempen semalam turut menyaksikan wakil Demokrat, bekas Presiden Barack Obama bakal mampu mengekang kemaraan Trump.
Obama memperlekehkan keputusan Trump menghantar beribu-ribu anggota tentera AS ke sempadan Mexico yang disifatkan cuba ‘mencari publisiti politik’.
Ketika berucap di Miami, beliau berkata, pentadbiran Republikan ‘memisahkan anggota keluarga dari keluarga masing-masing hanya untuk meraih publisiti di sempadan’.
“Penghantaran tentera ini hanyalah untuk menaikkan kemarahan dan mengelirukan rakyat malah cuba mencetuskan ketakutan,’’ katanya. – AFP










