MELAKA – Keputusan Kerajaan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) tidak perlu dibawa ke Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata persoalan membawa keputusan itu ke Parlimen tidak seharusnya dibangkitkan kerana ia (keputusan tersebut) telah dipersetujui pada mesyuarat kabinet semalam dan kenyataan mengenainya turut dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.
“Tempat yang terbaik bagi kerajaan buat keputusan adalah di mesyuarat kabinet, jadi tidak timbul isu ini dibawa ke Parlimen. Dulu mereka (pembangkang) minta agar kerajaan buat keputusan mengenai isu ICERD dan sekarang mereka pula persoalkan perkara ini.
“Apa sebenarnya yang mereka inginkan, adakah mereka sengaja heret perkara ini untuk dijadikan sebagai isu politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga Pengerusi AMANAH Melaka dan Ketua AWAN, Dr Siti Mariah Mahmud.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata bahawa keputusan kerajaan itu tidak mengikut formaliti pentadbiran yang menurutnya perlu dibawa ke Parlimen. – Bernama










