SEREMBAN – Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini semalam mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) batal dan tidak sah.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Azimah Omar yang kemudian mengarahkan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan serta-merta di kerusi tersebut selepas membenarkan petisyen ke atas kerusi DUN Rantau yang difailkan oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. S. Streram pada 23 Mei lalu.
Pada 28 April 2018, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub berikutan Streram gagal menghantar borang penamaan calon.
Streram gagal menghantar borang penamaan calon selepas tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).










