TM catat kerugian bersih RM175.59 juta pada suku ketiga 2018 - Utusan Malaysia

TM catat kerugian bersih RM175.59 juta pada suku ketiga 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd. mencatat kerugian bersih RM175.59 juta pada suku ketiga (Q3) berakhir 30 September 2018 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM211.82 juta yang dicatat dalam tempoh yang sama pada 2017.

Pendapatan meningkat kepada RM2.95 bilion, naik 0.3 peratus daripada RM2.94 bilion, disebabkan pendapatan data serta perkhidmatan berkaitan telekomunikasi lain yang lebih tinggi, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Ia melaporkan kerugian asas sesaham 4.67 sen berbanding 5.64 sen sebelum ini.

“Kumpulan menyaksikan prestasi operasi yang stabil, di tengah-tengah cabaran yang semakin meningkat dalam persekitaran operasi, iaitu cabaran industri dan pasaran yang memberi kesan kepada pendapatannya,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar.

Beliau berkata, syarikat telekomunikasi tersebut terus menghadapi pelbagai cabaran daripada dinamik pasaran yang kompetitif.

Menurutnya, bagaimanapun TM mencatat pendapatan yang mantap pada suku tersebut dan menyaksikan pelbagai inisiatif pengurangan kos telah membuahkan hasil dengan mencatat prestasi operasi yang lebih baik pada suku ke suku dan tahun ke tahun.

“Bagaimanapun, memandangkan tekanan berterusan daripada pelbagai cabaran industri dan pasaran serta kesannya terhadap pendapatan kami setakat ini, kami telah mengambil pandangan yang berhemat, dengan melakukan pengurangan aset rangkaian kami dan ini mengakibatkan hampir RM1.0 bilion kerugian kemerosotan suku ini,” katanya.

Imri juga berkata, peningkatan operasi pada Q3 2018 adalah bukti komitmen kumpulan kepada empat tunggak Program Peningkatan Prestasi (PIP 2018) – Peningkatan Pendapatan/Pemeliharaan, Keuntungan yang Berkekalan, Peningkatan Aliran Tunai dan Peningkatan Produktiviti yang mengemudi TM mengharungi cabaran terbabit.

“Kami sedang merasionalisasikan perniagaan kami, mengurangkan kos operasi dan memfokuskan sumber kami ke atas peluang yang akan memberi paling banyak impak.

“Pada masa ini kami mempunyai 2.29 juta pelanggan jalur lebar dan asas pelanggan unifi kami terus berkembang pada 1.26 juta pada akhir Q3 2018 berbanding 1.06 juta pada akhir suku yang sama tahun lepas.

“Kami akan terus mengukuhkan produk dan portfolio perkhidmatan kami dagar dapat bersaing secara agresif di pasaran, dengan jualan yang lebih tinggi dan aktiviti Go-To-Market di lapangan,” kata Imri.

Cabaran industri dan persekitaran pasaran baru-baru ini mempunyai kesan besar ke atas keseluruhan anggaran pendapatan dan keuntungan kumpulan TM dalam tahun kewangan ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN