Tindakan PAC panggil Zambry hadiri pendengaran awam MB Inc. terburu-buru - Utusan Malaysia

Tindakan PAC panggil Zambry hadiri pendengaran awam MB Inc. terburu-buru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 19 Nov. – Keputusan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Leong Cheok Keng untuk memanggil bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bagi menghadiri sesi pendengaran awam berhubung Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) pada 26 November ini bersifat terburu-buru.

Ahli PAC Perak, Datuk Aznel Ibrahim dan Razman Zakaria dalam kenyataan bersama berkata, walaupun perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat pada 15 November lalu, satu mesyuarat khas telah diminta untuk diadakan pada 23 November ini bagi memutuskan sama ada terdapat asas untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu, mereka terkejut dengan kenyataan Cheok Keng yang dibuat bersendirian tanpa keputusan konsensus apatah lagi ia boleh melontarkan persepsi negatif kerana pendengaran awam itu bakal dibuat sehari sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Kita tidak melindungi sebarang penyelewengan tetapi asasnya mesti profesional. Kredibiliti PAC akan tercabar sekiranya benar laporan media yang memetik kenyataan Cheok Keng bahawa sesi pendengaran tersebut bertujuan untuk menyiasat mengapa MB Inc. tidak pernah membentangkan laporan kewangan kepada DUN.

“Ini disebabkan perkara tersebut sudah berkali-kali dibahaskan dalam Sidang DUN. Masyarakat umum sudah mengetahui bahawa Perbadanan Menteri Besar termasuk di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan, juga tidak pernah membentangkan laporan kewangannya dalam Sidang DUN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, sebagai ahli PAC, mereka tidak mahu membiarkan PAC terjerat dalam isu politik dendam serta dijadikan sebagai alat politik untuk mencipta persepsi buruk.

“Perkembangan ini amat membimbangkan kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah PAC Perak apabila keputusan penting dibuat bersendirian tanpa pengetahuan semua ahli PAC,” katanya.

Pada Khamis lalu, Cheok Keng dilaporkan berkata, PAC akan memanggil Zambry serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Datuk Aminuddin Hashim untuk sesi pendengaran awam berhubung siasatan terhadap anak syarikat kerajaan negeri itu.

Cheok Keng berkata, beliau telah meminta Sekretariat PAC negeri untuk menghantar notis kepada kedua-dua individu berkenaan bagi menghadiri sesi tersebut yang bakal diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 26 November ini bermula pukul 10 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN