KOTA BHARU 30 Nov. – Setiap kali tiba musim cuti persekolahan, lazimnya ibu bapa akan bersungguh-sungguh memujuk anak mereka untuk berkhatan.
Namun tidak bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun, Wan Mohd. Aqif Syakir Wan Mohd. Azman yang beria-ia menyatakan keinginan untuk berkhatan bersama dengan sepupunya, Qholeef Iskandar Ahmad Hafeez, 7 dan Ahmad Izz Derwish Ahmad Ilham, 5.
Menurut ibunya, Nur Syuhada Zaid, 34, dia tidak pernah memaksa anaknya untuk melaksanakan kewajipan itu sebaliknya Wan Mohd. Aqif Syakir sendiri menzahirkan hasrat sejak musim cuti sekolah bermula.
“Masa sesi persekolahan hendak tamat, anak saya sendiri yang meminta untuk berkhatan bersama sepupunya. Hari ini, anak saya sudah bangun sejak pukul 6 pagi lagi dan langsung tidak timbul ketakutan mahupun kerisauan pada dirinya.
“Malah, anak saya juga kata bersunat ini macam kena gigit semut sahaja,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dan Pas Kawasan Kota Bharu di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Datuk Dr. Ramli Mamat.
Seramai 150 kanak-kanak dari tiga kawasan DUN iaitu Kota Lama, Tanjung Mas dan Bunut Payong menyertai program itu.
Tambah Nur Syuhada, bayaran yang dikenakan kepada setiap peserta sangat berpatutan dan berbaloi.
“Bayaran yang dikenakan hanya RM10 bagi setiap peserta dengan menggunakan teknik laser dan saya mengetahui tentang program ini melalui penghulu di tempat tinggal saya di Kampung Paloh, Pintu Geng,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE










