Tiga peniaga disyaki beri rasuah ditahan - Utusan Malaysia

Tiga peniaga disyaki beri rasuah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Tiga peniaga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada semalam selepas disyaki merasuah pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang.

Menurut jurucakap SPRM, ketiga-tiga lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8 malam di SPRM Johor Cawangan Kluang.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua suspek telah memberikan wang rasuah sebanyak RM1,500 kepada Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sebagai dorongan supaya tidak mengambil apa-apa tindakan.

“Mereka berbuat demikian bagi mengelakkan dikenakan tindakan dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dibawah kesalahan Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred Perniagaan dan Industri (MPK) 2017.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan kompaun berjumlah RM1,000.00 bagi setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jurucakap berkata, kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000.00 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. 

Pengarah SPRM Johor,  Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – K! ONLINE.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN