JOHOR BAHRU 27 Nov. – Kerajaan negeri tidak akan melindungi pemimpin termasuk Menteri Besar dan barisan Exco sekiranya ada dalam kalangan mereka didapati menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang mengalu-alukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat mereka jika ada bukti.
“Itu cuma peringatan sahaja, khabar angin itu perkara biasa dalam politik. Jadi, kalau betul ada Exco yang salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi, silalah SPRM atau PDRM tangkap kerana kita bertindak sebaik-baiknya menjadi kerajaan yang bersih.
“Kalau katalah salah laku daripada pihak Menteri Besar pun, jika ada bukti dan sebagainya silalah pihak SPRM atau polis, kita tidak lindungi siapa juga yang buat kesilapan,” katanya ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat Senai-Desaru Expressway Bhd. di sini sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu barisan Exco memberikan kerjasama kepada Menteri Besar sebagai sebuah pasukan selain mahu mereka menjalankan amanah diberi pada Majlis Istiadat sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-60 di Dewan Singgahsana Istana Besar di sini baru-baru ini.
Mazlan berkata, perkara penting pada masa ini adalah barisan Exco dan Menteri Besar bekerjsama dengan baik untuk membuat keputusan yang akan menguntungkan rakyat selain menjalankan kerja berlandaskan undang-undang. – UTUSAN ONLINE










