KUALA LUMPUR 15 Nov. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak bercadang untuk meminda Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara yang antaranya bagi menghalang kemasukan sisa plastik yang diimport ke negara ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin bagaimanapun berkata, kementeriannya akan melaksanakan pelbagai langkah lain seperti memperketatkan syarat pemberian lesen import (AP) sisa plastik dan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal kemasukan sisa plastik import.
Kata beliau, potensi perniagaan bagi plastik import menjana hasil sebanyak RM30 bilion kepada Malaysia, justeru, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi pendapatan besar kepada negara.
“Jadi, untuk jangka masa panjang, kita tidak mahu melepaskan peluang pendapatan ini, maka pihak kami bersama kementerian berkaitan telah bersetuju memberikan `facing out’, jangka masa untuk mengurangkan kadar import dan plastik tempatan di proses di kilang di negara ini.
“Kita harap dapat melaksanakannya kerana ia perlu dilihat daripada prospek pendapatan, mengurangkan penggunaan plastik yang mencemarkan alam sekitar dan sebagainya serta mengawal kilang-kilang yang sepatutnya memproses plastik untuk mendatangkan pendapatan kepada negara,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Charles Santiago (PH-Klang) yang meminta kerajaan menyatakan sama ada bercadang untuk mengubah kandungan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal Negara supaya melarang semua sisa plastik yang diimport dari luar negara terutamanya China, Eropah dan Australia masuk ke Malaysia.
Datuk Zakarian Mohd. Edris (BN-Libaran) turut menanyakan soalan sejauh manakah pengharaman import sisa pepejal akan memberi kesan kepada industri pemprosesan plastik.
Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi jawapan bertulis memaklumkan agar pemberian AP diteruskan selain hanya dihadkan kepada syarikat yang layak serta memenuhi syarat kelulusan seperti ditetapkan kementerian tersebut.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar menggesa Kerajaan mengharamkan sepenuhnya import sisa plastik dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk dikitar semula di negara ini yang pada tahun lalu sahaja mencatat jumlah 550,000 tan bagi mengelak kesan buruk kepada kesihatan awam dan alam sekitar. – UTUSAN ONLINE










