KUALA LUMPUR 16 Nov. – Keputusan kerajaan untuk meneruskan hasrat menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan disifatkan sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Apa yang membimbangkan, pengeluaran mata wang kripto oleh sesebuah parti politik kerajaan boleh memberi kesan buruk kepada pelaburan negara lebih-lebih lagi perkara itu tidak diiktiraf sebagai mata wang sah diperlakukan.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, segala pelaburan dalam negara terutama melibatkan bitcoin atau mata wang kripto haruslah dikawal selia oleh Bank Negara.
Malah kata Khairy, ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) sendiri menyatakan bantahan dalam media sosial terhadap kewujudan Harapan Coin.
“Ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab bagi pihak PH kerana kripto ini tidak dikawal selia dan mungkin boleh menjadi sesuatu yang boleh dispekulasi di samping memberi kesan buruk kepada pelabur.
“Saya berpendapat parti politik mestilah mengambil sikap lebih bertanggungjawab dengan tidak menjual atau memperdagangkan mata wang kripto selagi tidak dikawal selia Bank Negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri seminar ‘Bicara Santai: Pemerkasaan Belia’ anjuran Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai Harapan Coin pada hari terakhir lawatan beliau ke Singapura mengatakan perkara itu belum difikirkan secara mendalam, bergantung kepada sebaik mana ia berfungsi.
Sebelum ini, Menteri Wilayah, Khalid Abd. Samad yang juga pengasas bersama Harapan Coin berkata, rancangan untuk menjadikan Harapan Coin sebagai mata wang kripto kebangsaan dan digunakan dalam pentadbiran kerajaan pada masa depan, masih diteruskan.










