KUALA LUMPUR 19 Nov. – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran menafikan wujud diskriminasi agama di negara ini, sebaliknya menegaskan masyarakat berbilang kaum telah berjaya hidup secara aman dan harmoni.
Beliau yang juga Presiden MIC berkata, kebebasan beragama yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas dapat diamalkan dengan baik di negara ini berdasarkan pembinaan Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam di Batu Caves, Selangor.
Kata beliau, atas sebab itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy perlu mengubah sikap dan tidak lagi mengeluarkan banyak kenyataan yang boleh menjejaskan nama baik dan perpaduan tersebut.
“Beliau cakap banyak sangat dulu. Untuk pengetahuan semua, di India pun kita tidak mempunyai kuil yang besar dan Dewa Murugan seperti di Batu Caves.
“Saya harap Waytha Moorthy akan berubah dan mungkin beliau telah berubah pendirian sebab sekarang beliau sudah bekerja dengan kerajaan PH,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Negara, hari ini.
Semalam, Waytha Moorthy dalam satu kenyataan berkata, video wawancara beliau dengan sebuah stesen televisyen di Belanda 10 tahun lalu yang tular pada masa ini dibuat selepas demonstrasi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) dijalankan pada November 2007 yang mana beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap malah beliau sendiri turut ditangkap dan mendakwa telah diseksa.
Beliau mendakwa, kerajaan UMNO ketika itu menjalankan kempen propaganda palsu yang mengaitkan penglibatannya dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan cuba menjatuhkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE.










