Tiada protes, bantahan sehingga 1 Januari 2019 - Utusan Malaysia

Tiada protes, bantahan sehingga 1 Januari 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Semua pemandu teksi di bawah syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang protes atau bantahan sehingga 1 Januari tahun depan.

Penasihat syarikat tersebut, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, jaminan itu susulan pertemuannya dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook hari ini bahawa mulai awal tahun hadapan semua pemandu e-hailing perlu mendaftar lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) seperti pemandu teksi.

“Saya diberi jaminan penuh oleh Menteri yang mewakili Kementerian Pengangkutan yang mengatakan setiap pemandu e-hailing tidak terkecuali, harus membuat pendaftaran lesen PSV sama dengan pemandu-pemandu teksi mulai 1 Januari 2019, tiada terkecuali.

“Menteri juga memberi jaminan kepada saya langkah itu diambil bagi menjaga periuk nasi pemandu-pemandu teksi jadi tiada kompromi terhadap sesiapa yang tidak ambil dan mohon PSV tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita di luar bangunan Parlimen, hari ini.

Pada 8 November lalu, Shamsubahrin mendesak Kementerian Pengangkutan menetapkan tarikh pertemuan antara Menteri Pengangkutan dan pemandu-pemandu teksi dalam tempoh dua minggu ini.

Sementara itu, katanya, beliau tidak boleh menerima jika kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji itu selepas tempoh tersebut.

“Saya tengok Menteri seorang yang ‘straight forward’, tidak ada pusing-pusing, jadi apa yang saya tengok itu insya-Allah beliau akan kotakan janji tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN