Tiada pihak cabar di mahkamah - Utusan Malaysia

Tiada pihak cabar di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tiada pihak yang tampil untuk mencabar perintah mahkamah berkaitan hak untuk menjual kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan skandal syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Mohamed Hanipa

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, Jho Low, individu yang seharusnya mencabar perintah mahkamah tersebut, sehingga ke hari ini belum mencabar keputusan itu.

“Saya berasa hairan kalau mereka mempertikaikan bahawa kapal itu milik seseorang. Jika Jho Low rasa kapal itu miliknya sepatutnya beliau cabar keputusan itu di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang mahu kepastian bahawa kapal itu adalah milik Jho Low pada sidang Dewan Rakyat di sini semalam.

Hanipa berkata, memorandum maklumat berkenaan penjualan kapal Equanimity juga menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada mana-mana pihak yang telah membantah tindakan menjual kapal tersebut.

Sehubungan itu, Hanipa menggesa Jho Low agar pulang ke ta­nahair bagi berhadapan de­ngan tuduhan sekali gus mempertahankan dirinya di mahkamah.

Beliau turut menggesa agar mereka yang mempunyai maklumat berkaitan Jho Low dapat berhubung terus dengan pihak Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan usaha membawa pulang ahli perniagaan itu ke Malaysia dapat dilakukan.

Kepada soalan tambahan Teh Kok Lim (PH-Taiping), Hanipa berkata, kerajaan tidak boleh mendedahkan nilai jualan kapal Equanimity semasa proses jualan berikutan wujudnya perintah mahkamah.

“Semua tawaran untuk membeli Equanimity dibuat terus kepada sherif mahkamah yang diberi kuasa untuk menerima bidaan tertinggi yang dibuat,” ujarnya.

Pada 26 Oktober lalu, Mahkamah Admiraliti meluluskan terma dan syarat bagi pro­ses pembidaan kapal mewah itu bermula 29 Oktober hingga 28 November ini.

Equanimity yang dirampas di Bali, Indonesia pada Februa­ri lalu dan diangarkan bernilai AS$250 juta (RM1.04 bilion) didakwa dibeli oleh Jho Low menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Kapal layar mewah itu dise­rahkan kepada kerajaan Malaysia pada Ogos lepas. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN