GERIK 19 Nov. – Operasi mencari peserta menangkap itik yang dikhuatiri lemas di Tasek Takong di Pengkalan Hulu dekat sini semalam, dihentikan hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Raduan Mohamad berkata, operasi itu dihentikan pada pukul 12.05 tengahari setelah pasukan penyelamat berpuas hati bahawa tiada peserta yang lemas seperti yang didakwa seorang pengunjung.
Katanya, sehingga kini, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan mana-mana individu.
“Setakat ini tiada laporan orang hilang dan tiada mangsa lemas yang ditemukan dalam operasi mencari sejak semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, bagi memudahkan proses mencari mangsa, air tasik disurutkan sehingga paras 0.3 meter dari kedalaman awal iaitu tiga meter.
Bagaimanapun katanya, selepas 24 jam operasi dijalankan, pihaknya tidak menjumpai peserta yang dikatakan lemas itu.
“Pencarian secara ‘surface water rescue’ dilakukan dari semalam sehingga hari ini namun tiada mangsa dijumpai seperti yang dilaporkan oleh orang awam di tempat kejadian.
“Operasi pencarian membabitkan pasukan bomba bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Pengkalan Hulu dan pihak polis telah dihentikan tengahari tadi,” katanya.- UTUSAN ONLINE










