KUALA LUMPUR 29 Nov. – Kebenaran istimewa yang diberikan kepada beberapa pusat hiburan untuk menjalankan operasi sehingga pukul 5 pagi sebelum ini akan diteliti semula.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, pusat hiburan yang mendapat kebenaran istimewa itu tidak banyak dan pihaknya memberikan lesen perkhidmatan tersebut kerana memiliki ramai pelanggan yang terdiri daripada warga asing.
“Kebenaran itu diberikan bagi memenuhi kehendak para pelancong, namun didapati ramai orang tempatan yang menjadi pelanggan di pusat-pusat hiburan tersebut.
“Atas sebab itu, kita akan meneliti sama ada kebenaran istimewa itu harus diteruskan atau dipertimbangkan semula,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Ahad lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata pihaknya akan mengesyorkan kepada Kementerian Wilayah supaya premis-premis hiburan di sekitar ibu kota dibenarkan untuk beroperasi sehingga pukul 1 pagi sahaja. – UTUSAN ONLINE.










