MELAKA 30 Nov. – Pusat beli-belah The Shore Shopping Gallery di Jalan Pesisiran Bunga Raya di sini melancarkan promosi Krismas 2018 selain menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang bulan Disember ini.
Pengurus Kawasan Pejabat Urusan Knight Frank, anak syarikat Pelaburan Hartanah Berhad yang menguruskan pusat beli-belah itu, Mohd. Salleh Jusman berkata, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang bulan Disember ini antaranya `Santa Meet & Greet’, pertandingan mewarna sempena Krismas, `Christmas Carolling’, `Stilt Walker Appearance’, `Super Hero Face Painting Contest’ dan lain-lain aktiviti.
“Program ini telah dirancang bagi mempromosikan The Shore Shopping Gallery dan seterusnya untuk menarik para pengunjung dan pelancong datang membeli-belah di kompleks ini.
“Pihak kami berharap program dan aktiviti ini akan dapat menambahkan keceriaan sambutan Hari Krismas 2018 dan seterusnya memupuk semangat perpaduan antara kaum,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran promosi Krismas di pusat beli-belah itu, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Kanan Pengurusan Hartanah dan Pelaburan PHB, Natra Ahmad Zainuddin serta Pengurus Pinjaman dan Pemasarannya, Paul Cham Kah Leong.
Menurut Mohd. Salleh, tema sambutan Hari Krismas pusat beli-belah itu pada tahun ini adalah ‘The Magic of Giving’ iaitu keajaiban memberi dan kegembiraan yang menerima dan untuk itu diharapkan ia dapat mencapai objektif promosi dan pada masa yang sama memeriahkan sambutan perayaan pada tahun ini untuk semua golongan masyarakat. – UTUSAN ONLINE










