KUALA LUMPUR 27 Nov. – Ternyata, selain latihan keras sebelum pertemuan menentang Thailand dalam aksi separuh akhir Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini, kehadiran penyokong ditagih pemain skuad Harimau Malaya untuk menyemarakkan sokongan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Ini sebagaimana diharapkan Kapten Harimau Malaya, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang turut meminta penyokong skuad kebangsaan memberikan kritikan membina untuk meningkatkan prestasi pemain berbanding menjatuhkan moral mereka.
Tambahnya, dia sedar ini adalah ‘asam garam’ yang perlu dilalui pemain-pemain negara apabila gagal mempamerkan aksi yang mampu memuaskan hati peminat.
“Cuma satu saya minta berilah sokongan anda kepada pasukan kami dan saat ini dengan kritikan yang membina untuk kami kerana ia akan memberi semangat dan keyakinan lebih tinggi apabila turun beraksi.
“Ada separuh pemain boleh menerima kritikan dan yang tidak boleh. Jadi kalau anda rakyat Malaysia yang positif berilah sokongan anda kepada kami dengan sepenuh hati,” katanya ketika ditemui di Padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.
Malaysia muncul naib juara Kumpulan A untuk mengiringi Vietnam ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu Thailand di peringkat itu pada Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum berkunjung ke Stadium Rajamangala pada 5 Disember.
Pertemuan itu sudah pasti menarik buat kedua-dua pasukan dan ia bakal menjadi perlawanan ulangan final Piala AFF 2014 yang menyaksikan Malaysia tewas dengan agregat 3-4.
Sementara itu, satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan pertemuan Vietnam berdepan Filipina pada 2 dan 6 Disember ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kegagalan pemain muda yang masih buntu mencipta jaringan pada kempen Piala AFF 2018, Zaquan mengakui masa mereka akan tiba.
“Bagi saya, mereka masih muda dan saya nampak usaha mereka. Banyak lagi yang perlu mereka belajar tetapi bukan bermaksud saya dan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang jaringkan gol bermakna kami adalah bagus.
“Jika tanpa bantuan mereka (pemain muda) kami juga tidak mampu melakukannya. Saya percaya mungkin selepas ini tiba giliran mereka pula menjaringkan gol dan saya menghargai segala usaha dan komitmen tinggi mereka,” ujarnya.










