KUALA TERENGGANU 27 Nov. – Kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang cadangan untuk mengambil alih pengurusan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) terutama soal tol meskipun pembinaan projek itu turut melibatkan wang royalti milik negeri berjumlah RM1.85 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, ini kerana LPT2 adalah milik kerajaan Pusat selain kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran dalam soal itu.
“LPT2 bukan hak milik kerajaan negeri walaupun dari segi sejarah kita ada saham melibatkan wang royalti bernilai RM1.85 bilion untuk membina lebuh raya itu.
“Soal ini juga memerlukan kepakaran tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan wakil pembangkang, Datuk Sabri Mohd. Noor (BN-Langkap) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini hari ini.
Bagaimanapun, sesi itu dicelah Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) yang mendakwa kerajaan negeri berpengalaman mengendalikan tol di Jambatan Sultan Mahmud suatu ketika dulu bahkan, turut terlibat dalam urusan penyelenggaraan jalan.
“Saya tidak setuju (dengan jawapan Dr. Mamat), cari jawapan lain,” ujarnya yang menarik perhatian sidang DUN.
Mamad berkata, sebanyak 1,752 lot tanah dimiliki individu dan syarikat kerajaan negeri terlibat dalam pengambilan tanah bagi pembinaan LPT2 dengan kos keseluruhan bernilai RM163.5 juta.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memberitahu, persiapan awal menghadapi banjir mula digerakkan sejak suku pertama tahun ini melalui jawatankuasa pengurusan bencana yang telah bermesyuarat sebanyak dua kali.










