KOTA BHARU 30 Nov. – Cubaan menyeludup tiga laras senapang AK-47 bersama tiga kelopak peluru di Tanah Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Gemang, Ayer Lanas, Jeli, dekat sini berjaya dipatahkan oleh sepasukan tentera dari Batalion 2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD), semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, sepasukan tentera dari 2 RRD menerima maklumat risikan bahawa terdapat kegiatan penyeludupan senjata api di kawasan tersebut.
Seorang pegawai dan lapan anggota kemudian membuat rondaan sebelum menemukan satu kawasan yang terdapat kesan tanah yang baru digali kira-kira pukul 4.43 petang.
Pasukan 2 RRD itu kemudian meminta bantuan pasukan 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk mengesan sebarang logam menggunakan pengesan logam selepas mengesyaki terdapat barangan salah ditanam di kawasan tersebut.
Selepas kerja penggalian dilakukan, pasukan tersebut menemukan satu guni putih yang ditanam sedalam kira-kira setengah meter.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata, hasil pemeriksaan ke dalam guni tersebut pihaknya menemukan tiga laras senapang jenis AK47 yang dibalut dengan kanvas biru setiap satu.
“Maklumat ini adalah hasil risikan anggota kita dan saya percaya tiga laras senapang itu diseludup dari negara jiran, Thailand kerana senjata jenis itu tidak digunakan di negara ini.
“Ketiga-tiga senapang itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Bunga, Jeli untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, sumber polis ketika dihubungi memberitahu tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.-UTUSAN ONLINE










